Tuesday, August 7, 2012

Isu tentang perkataan `baharu’ dan 'ia"

Akhir-akhir ini, ada pihak yang menolak kewujudan perkataan `baharu’ dalam bahasa Melayu yang diperkenalkan oleh panel penulis Tatabahasa Dewan kira-kira 20 tahun yang lalu. Isu ini sepatutnya tidak timbul kerana bahasa Melayu perlu berkembang sama ada secara evolusi atau revolusi. Perkataan `baharu’ memang berbeza dengan perkataan `baru’ dari segi makna dan jenis perkataan tersebut. Jika golongan ini menyamakan perkataan `baru’ dan `baharu’ seperti perkataan `dulu’ dan `dahulu’, `saja’ dan `sahaja’, saya berpendapat bahawa tindakan ini kurang tepat. Perkataan `dulu’ ialah kependekan perkataan `dahulu’. Perkataan `dulu’ dikategorikan sebagai bahasa percakapan atau digunakan dalam suasana yang tidak formal. Makna perkataan `dahulu’ ialah: masa yang telah lalu. Ayat contoh: 1. Dahulu kala, orang tidak menggunakan elektrik. Selain itu, perkataan `dahulu’ bermaksud mula-mula dilakukan atau dibuat: Ayat contoh: 2.Berfikirlah dahulu sebelum menjawabnya. Seterusnya, perkataan `dahulu’ bermaksud di hadapan. Ayat contoh: 3. Dia menjawab soalan pemahaman dahulu, kemudian soalan tatabahasa. Perkataan mendahului pula bermaksud mencapai sesuatu matlamat lebih awal. Ayat contoh: 4. Dalam perlawanan itu, Datuk Lee Chong Wei telah mendahului Lin Dan. Perkataan `mendahului’ juga bermaksud berada di hadapan. Ayat contoh: 5.Ketika berjalan-jalan ke pasar malam itu, Hanis mendahului kedua-dua ibu bapanya. Perkataan `mendahulukan’ pula bermaksud membuat sesuatu lebih awal daripada yang lain. Ayat contoh: 6. Encik Samat sentiasa mendahulukan kerja-kerja pejabat daripada kerja-kerja peribadi. Maksud perkataan `mendahulukan’ yang kedua ialah memberikan keutamaan kepada. Ayat contoh: 7. Mereka telah mendahulukan orang-orang susah semasa menyampaikan derma itu. Perkataan `terdahulu’ pula bermaksud lebih awal. Ayat contoh: 8. Dia pergi ke sekolah terdahulu daripada saya. Perkataan `pendahuluan’ pula bermaksud permulaan. Ayat contoh: 9. Jika bersetuju untuk membeli rumah ini, bapa perlulah membuat bayaran pendahuluan. Perkataan `sahaja’ pula bermaksud cuma atau tiada yang lain atau satu-satunya. Ayat contoh: 10. Beliaulah sahaja yang dapat membantu saya. Selain itu, perkataan `sahaja’ bermaksud selalu demikian, atau masih begitu juga. Ayat contoh: 11. Telah seminggu ibu asyik termenung sahaja. Maksud perkataan sahaja yang ketiga ialah usahkan, malah atau pun. Ayat contoh: 12. Usahkan menegur, melihat sahaja dia tidak sudi. Maksud yang keempat ialah sesiapa pun atau sebarang. Ayat contoh: 13. Sesiapa sahaja dapat melakukannya. Maksud yang kelima ialah dengan mudah atau dengan sesuka hati. Ayat contoh: 14. Beras yang sekarung itu dijinjingnya sahaja. Selanjutnya, maksud perkataan `sahaja’ ialah sangat atau sekali. Ayat contoh: 14. Perkara itu mudah sahaja diselesaikan. Perkataan `saja’ pula ialah bahasa percakapan untuk sahaja. Jika perkataan `dulu’ dan `saja’ merupakan kependekan atau bahasa percakapan untuk perkataan `dahulu’ dan `sahaja’, kedua-dua perkataan ini berbeza dengan perkataan `baru’ dan `baharu’. Walaupun Kamus Dewan tidak membezakan perkataan `baru’ dengan `baharu’, sebenarnya kedua-kedua perkataan ini berbeza dari segi kategori dan makna. Perkataan `baru’ termasuk dalam golongan kata bantu yang bermaksud `belum lama’. Dalam bahasa Inggeris, perkataan ini bermaksud `just.’. Ayat contoh: 15. Dia baru tiba dari Kuala Lumpur sebentar tadi. 16. Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan bahawa semua kakitangan kerajaan akan diberi bonus sebulan gaji. Perkataan `baharu’ pula termasuk dalam golongan kata adjektif yang bermaksud belum ada sebelumnya atau belum lama wujud. Dalam bahasa Inggeris, perkataan ini bermaksud `new’. Ayat contoh: 17.Ayah telah membeli rumah baharu untuk kami. 18.Adik memakai baju baharu. Sebagai kesimpulannya, perkataan `saja’, `dulu’, dan `baru’ tidak boleh disamakan pembentukan dan maknanya dengan perkataan `sahaja’, `dahulu’ dan `baharu’. Perkataan `saja’, dan `dulu’ merupakan kependekan atau bahasa percakapan bagi perkataan `sahaja’ dan `dahulu’. Oleh hal yang demikian, usaha panel penulis buku Tatabahasa Dewan yang membezakan maksud dan penggunaan perkataan `baru’ dengan `baharu’ patut dipuji. Oleh sebab Kementerian Pelajaran Malaysia menjadikan buku Tatabahasa Dewan sebagai tatabahasa pegangan untuk murid dan guru yang mempelajari subjek Bahasa Melayu di sekolah, semua pihak haruslah menerima penggunaan perkataan `baru’ dan `baharu’ sebagai perkataan yang berbeza dari segi makna dan golongan katanya. Isu tentang Penggunaan Kata `ia’ oleh Abdul Ghalib Yunus, Munsyi Dewan Akhir-akhir ini, penggunaan perkataan ia telah diterima pakai bukan setakat untuk merujuk kata ganti nama diri ketiga manusia tetapi juga untuk bukan manusia. Hal ini mencetuskan polemik dalam kalangan pengguna bahasa apabila penyusun Kamus Dewan Edisi Keempat memberikan makna perkataan `ia’ sebagai kata ganti nama diri ketiga manusia, benda, perkara dan juga objek abstrak. Dalam kamus Dewan Edisi Ketiga, perkataan `ia’ hanya merujuk kata ganti diri ketiga manusia, atau dia. Hal ini bermakna binatang atau benda atau perkara juga boleh dirujuk dengan menggunakan perkataan `ia’. Alasan yang dikemukakan ialah penggunaan perkataan ia yang ringkas, iaitu terdiri daripada dua huruf menepati ciri-ciri keringkasan. Oleh hal yang demikian, penggunaan perkataan ia akan menjimatkan ruang. Alasan yang kedua ialah perkataan ia perlu digunakan kerana sesuatu perkara atau benda disebut berulang-ulang akan menimbulkan kejanggalan atau kebosanan dan tidak memperlihatkan keindahan. Alasan yang ketiga ialah istilah bidang sains memerlukan perkataan ia. Alasan yang keempat ialah penulis bidang sains tidak dapat menterjemahkan perkataan `it’ dalam bahasa Inggeris dengan perkataan lain, kecuali `ia’. Hujah-hujah tersebut perlu ditolak kerana alasan-alasan yang dikemukakan sangat lemah. Makna perkataan ia yang diberikan dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga perlu dipertahankan, iaitu ia ialah kata ganti diri ketiga; dia. Hujah untuk menyangkal alasan yang pertama tadi ialah ciri-ciri keringkasan tidak boleh dijadikan asas untuk membenarkan sesuatu yang salah sebagai betul. Jika alasan ini diterima, maka bahasa Melayu akan bercelaru. Sebagai contohnya, untuk memenuhi ciri-ciri keringkasan kita terpaksa menggunakan ungkapan *Ini kerana ... bukan Hal ini dikatakan demikian kerana ..., *sehubungan itu ..bukan sehubungan dengan itu,... *selain daripada itu ...bukan selain itu..., *daripada... bukan dari...., dan sebagainya. Seterusnya, hujah kedua yang dikemukakan juga perlu ditolak. Alasan yang mengatakan pengulangan perkara yang sama berulang kali akan menimbulkan kejanggalan dan membosankan serta tidak memperlihatkan keindahan. Hujah ini diterima dan diakui kebenarannya. Namun, perkataan ia jika digunakan untuk merujuk benda atau perkara berulang kali tetap juga menimbulkan kebosanan atau kejanggalan dan tidak memperlihatkan keindahan. Sebenarnya, kita tidak perlu menulis perkataan yang sama berulang-ulang untuk merujuk sesuatu benda. Alasan yang ketiga ialah istilah sains memerlukan perkataan ia. Hujah ini juga ditolak.Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Melayu mempunyai pelbagai kosa kata untuk merujuk sesuatu benda atau perkara sama ada istilah untuk bidang umum atau bidang khusus. Sebagai contohnya, lihat ayat-ayat yang di bawah ini: SODIUM klorida atau lebih dikenali sebagai garam merupakan bahan kimia yang terdiri daripada sodium (Na) dan klorida (CI).Bahan itu terbentuk secara semula jadi di kebanyakan tempat di seluruh negara sebagai galian yang keras.Mungkin masyarakat beranggapan bahawa butiran berwarna putih sebagai bahan perisa dalam makanan ini biasanya ditemukan di meja makan.Mungkin tidak banyak menyedari bahawa kegunaan garam sebenarnya melebihi sesuatu yang disangkakan.Sebagai salah satu elemen terpenting dalam kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan, garam digunakan begitu meluas sebagai bahan pengawet makanan.Satu hakikat yang pasti hingga kini, belum ada bahan perisa yang setanding dengannya yang dapat menggantikan garam.Tanpa sebarang keraguan, sama ada dicampur atau tidak dengan bahan lain, sodium klorida merupakan ejen pembersih yang terunggul sebelum pembersih dan bahan kimia moden tercipta.Menurut Salt Institute, sebagai komponen makanan tambahan tertua di dunia, garam digunakan terutama dalam masakan dan pemprosesan makanan.Keistimewaan garam ialah bahan tersebut dapat memberikan rasa semula jadi pada makanan dan dapat disesuaikan dengan selera pengguna.Selain itu, butiran yang masin ini juga berfungsi melindungi makanan daripada dirosakkan oleh mikroorganisme dan memastikan tekstur makanan yang diproses dalam keadaan baik. Komen: Dalam petikan tersebut, kata garam tidak perlu diulang banyak kali. Hal ini dikatakan demikian kerana perkataan `garam’ boleh juga digantikan sebagai Sodium Klorida, bahan itu, butiran berwarna putih, bahan perisa, bahan tersebut, butiran yang masin ini, dan sebagainya. Perhatikan petikan di bawah ini yang mengandungi kata ia dan garam yang diulang atau digunakan banyak kali. SODIUM klorida atau lebih dikenali sebagai garam merupakan bahan kimia yang terdiri daripada sodium (Na) dan klorida (CI). garam/ia terbentuk secara semula jadi di kebanyakan tempat di seluruh negara sebagai galian yang keras.Mungkin masyarakat beranggapan bahawa garam/ia sebagai bahan perisa dalam makanan ini biasanya ditemukan di meja makan.Mungkin tidak banyak menyedari bahawa kegunaan garam/ia sebenarnya melebihi apa yang disangkakan.Sebagai salah satu elemen terpenting dalam kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan, garam/ia digunakan begitu meluas sebagai bahan pengawet makanan.Satu hakikat yang pasti hingga kini, belum ada bahan perisa yang setanding dengannya yang dapat menggantikan garam/ia.Tanpa sebarang keraguan, sama ada dicampur atau tidak dengan bahan lain, garam/ia merupakan ejen pembersih yang terunggul sebelum pembersih dan bahan kimia moden tercipta.Menurut Salt Institute, sebagai komponen makanan tambahan tertua di dunia, garam/ia digunakan terutama dalam masakan dan pemprosesan makanan.Keistimewaan garam/ia ialah garam/ia dapat memberikan rasa semula jadi pada makanan dan dapat disesuaikan dengan selera pengguna.Selain itu, garam/ia juga berfungsi melindungi makanan daripada dirosakkan oleh mikroorganisme dan memastikan tekstur makanan yang diproses dalam keadaan baik. Komen: Penggunaan kata garam dan ia dalam petikan tersebut memang kelihatan janggal dan membosankan kerana pengunaan kata-kata tersebut terpaksa diulang. Jika dibandingkan dengan petikan pertama tadi, jelaslah bahawa kata-kata yang pelbagai yang merujuk garam atau sodium klorida tadi memperlihatkan kepelbagaian penggunaan kata justeru memperlihatkan keindahannya. Walau bagaimanapun, penggunaan perkataan ia masih boleh digunakan untuk merujuk benda yang bukan manusia seperti binatang. Hal ini dapat dilihat dalam cerita-cerita yang memaparkan watak-watak binatang yang bertingkah laku seperti manusia. Penggunaan perkataan ia banyak terdapat dalam cerita-cerita seperti cerita Sang Kancil, Kura-kura dengan Arnab dan sebagainya. Dalam cerita-cerita seperti ini, kata ganti nama ia boleh digunakan untuk merujuk binatang. Lihat ayat contoh yang di bawah ini: 1) Sang Kancil sangat cerdik. Ia sering menipu buaya, harimau, dan binatang-binatang yang lain. Pada suatu hari, ... Jika perkataan ia digunakan dengan sewenang-wenangnya seperti dalam ayat (2) yang di bawah ini, ayat tersebut akan menjadi lebih bercelaru jika `lembu’ dijamakkan seperti ayat (3): 2.Lembu sedang meragut rumput di padang. *Ia terlalu lapar agaknya. 3.Lembu-lembu sedang makan rumput di padang. *Mereka terlalu lapar agaknya. Ayat itu boleh dibetulkan seperti yang berikut: 2a. Lembu sedang meragut rumput di padang. Haiwan itu terlalu lapar agaknya. 2b. Lembu sedang makan rumput di padang. Binatang ternakan itu terlalu lapar agaknya. 3a. Lembu-lembu sedang makan rumput di padang. Binatang itu terlalu lapar agaknya. 3b. Lembu-lembu sedang makan rumput di padang. Haiwan peliharaan itu terlalu lapar agaknya. Alasan keempat yang dikemukakan, iaitu penulis bidang sains tidak dapat menterjemahkan perkataan `it’ dalam bahasa Inggeris dengan perkataan lain, kecuali `ia’ merupakasan alasan yang sukar diterima. Hal ini jelas membuktikan bahawa masalah yang timbul bukanlah berpunca daripada kelemahan bahasa Melayu, tetapi berpunca daripada pengguna bahasa Melayu. Untuk menyelesaikan masalah ini, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka perlulah mengadakan kursus atau latihan khas untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan penulis bidang sains. Tindakan untuk merendahkan martabat bahasa Melayu atas kelemahan pihak lain menguasai bahasa tidak seharusnya berlaku. Menurut Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, beliau tidak pernah menggunakan perkataan `ia’ untuk merujuk benda atau perkara dalam mana-mana tulisan yang pernah dihasilkan. Hal ini membuktikan bahawa perkataan `ia’ hanya sesuai untuk merujuk kata ganti nama diri orang ketiga. Sebagai kesimpulannya, penggunaan perkataan ia untuk merujuk kata ganti nama diri ketiga hendaklah dikekalkan. Alasan yang mengatakan bahawa penggunaan perkataan ia lebih mudah dan ringkas perlu ditolak. Seterusnya, alasan yang mengatakan laras sains memerlukan penggunaan perkataan ia juga perlu ditolak. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Melayu kaya dengan pelbagai kosa kata dan istilah yang berlainan bagi merujuk benda atau perkara yang sama. Masalahnya ialah pengguna itu sendiri yang kurang kreatif ketika membina ayat atau tidak mengetahui kewujudan perkataan lain yang dapat digunakan untuk menyatakan perkara atau benda atau konsep yang sama. Tegasnya, pemberian makna ia yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi ketiga hendaklah dikekalkan untuk menerangkan makna dan fungsi kata tersebut. Oleh itu, pemberian makna perkataan ia yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat perlu dikaji semula.
Siri 855 - Frasa `orang ramai', `ramai orang' dan `banyak orang' Soalan: Cikgu, apakah perbezaan antara frasa `orang ramai' dengan `ramai orang' serta `banyak orang'? Daripada: SMS 0199014909 Jawaban: Untuk mengetahui perbezaan ketiga-tiga frasa tersebut, sila lihat ayat yang di bawah ini: 1. Pihak polis menasihati orang ramai supaya menjauhi kawasan itu pada hari Sabtu ini. 2. Ramai orang yang berkunjung di pasar Ramadan itu pada setiap petang. 3. Banyak orang yang tidak faham akan sebab-sebab tindakan itu diambil terhadap kumpulan tersebut. Ulasan: Frasa `orang ramai' dalam ayat (1) bermaksud `masyarakat' atau sesiapa sahaja. Frasa `ramai orang' dalam ayat (2) pula merujuk suasana seperti sibuk, bising, dan sebagainya. Frasa `banyak orang' dalam ayat (3) pula tidak merujuk suasana tetapi merujuk sejumlah orang yang tidak memahami sesuatu.
Entri Cikgu Abdul Ghalib Yunus yang dipetik daripada laman http://agy7500.blogspot.com/ Siri 862 - Perkataan `menugasi', `menugaskan', `ditugasi' dan `ditugaskan'. Soalan: Cikgu, bagaimanakah kita hendak membezakan penggunaan perkataan `menugasi', `menugaskan', `ditugasi' dan `ditugaskan' dalam ayat? Daripada: Cikgu R, SMK Confussion Jawaban: Kita dapat menggunakan semua perkataan tersebut dengan tepatnya dalam ayat jika kita memahami makna semua perkataan tersebut. Selain itu, kita perlu mengetahui penggunaan perkataan tersebut dalam ragam aktif dan ragam pasif. Perkataan `menugasi' bermaksud mem­berikan tugas seseorang, Contoh penggunaan perkataan ini dalam ayat ialah: 1. Pengetua telah menugasi kami menyusun atur cara program tersebut. Apabila dipasifkan, ayat tersebut menjadi seperti yang berikut: 1(a) Kami telah ditugasi oleh pengetua menyusun atur cara program tersebut. Perkataan `menugaskan' pula bermaksud menyerahkan sesuatu tanggungjawab sebagai tugas kepada seseorang. Lihat penggunaan perkataan tersebut dalam ayat yang di bawah ini: 2. Pengetua menugaskan kerja-kerja penyusunan atur cara program tersebut kepada kami. Apabila dipasifkan, ayat tersebut menjadi seperti yang berikut: 2(a) Kerja-kerja penyusunan atur cara program tersebut ditugaskan oleh pengetua kepada kami. This Blog Blog Khas untuk Muridku This Blog Blog Khas untuk Muridku Monday, August 6, 2012 Siri 862 - Perkataan `menugasi', `menugaskan', `ditugasi' dan `ditugaskan'. Soalan: Cikgu, bagaimanakah kita hendak membezakan penggunaan perkataan `menugasi', `menugaskan', `ditugasi' dan `ditugaskan' dalam ayat? Daripada: Cikgu R, SMK Confussion Jawaban: Kita dapat menggunakan semua perkataan tersebut dengan tepatnya dalam ayat jika kita memahami makna semua perkataan tersebut. Selain itu, kita perlu mengetahui penggunaan perkataan tersebut dalam ragam aktif dan ragam pasif. Perkataan `menugasi' bermaksud mem­berikan tugas seseorang, Contoh penggunaan perkataan ini dalam ayat ialah: 1. Pengetua telah menugasi kami menyusun atur cara program tersebut. Apabila dipasifkan, ayat tersebut menjadi seperti yang berikut: 1(a) Kami telah ditugasi oleh pengetua menyusun atur cara program tersebut. Perkataan `menugaskan' pula bermaksud menyerahkan sesuatu tanggungjawab sebagai tugas kepada seseorang. Lihat penggunaan perkataan tersebut dalam ayat yang di bawah ini: 2. Pengetua menugaskan kerja-kerja penyusunan atur cara program tersebut kepada kami. Apabila dipasifkan, ayat tersebut menjadi seperti yang berikut: 2(a) Kerja-kerja penyusunan atur cara program tersebut ditugaskan oleh pengetua kepada kami. Siri 861 – kenali, minati dan ingati Soalan: Cikgu, adakah kedua-dua ayat di bawah ini gramatis? 1. Ada beberapa tokoh yang hadir di majlis itu tidak saya kenal. 2,Pilihlah mana-mana mata pelajaran yang anda minat dalam program tersebut. 3. Peristiwa yang berlaku pada tahun lepas itu masih saya ingat. Saya berharap agar cikgu dapat memberikan penjelasan. Daripada: Aida, SMK Seksyen 19, Shah Alam. Jawaban: Ketiga-tiga ayat yang dikemukakan tidak gramatis. Perkataan `kenal’ , `minat’ dan `ingat' dalam ayat tersebut sepatutnya `kenali’, `minati’ dan` ingati'. Ketiga-tiga perkataan tersebut dikategorikan sebagai kata kerja pasif diri pertama atau kedua. Ketiga-tiga perkataan tersebut berasal daripada perkataan `mengenali’, `meminati’ dan `mengingati’ dalam bentuk aktif. Sila perhatikan ayat yang di bawah ini: 4. Saya mengenali beberapa orang tokoh yang menghadiri majlis itu. (aktif) 5. Saya amat meminati beberapa mata pelajaran yang ditawarkan dalam program tersebut. (aktif) 6. Saya masih mengingati peristiwa yang berlaku pada tahun lepas itu.(aktif) Apabila dipasifkan, ayat tersebut menjadi ayat yang berikut: 4(a) Beberapa orang tokoh yang menghadiri majlis itu saya kenali. (pasif) 5(a) Beberapa mata pelajaran yang ditawarkan dalam program tersebut amat saya minati. (pasif) 6(a) Peristiwa yang berlaku pada tahun lepas itu masih saya ingati. Siri 860 - Ayat majmuk pancangan komplemen Soalan: Cikgu, apakah jawapan yang tepat untuk soalan yang di bawah ini: 1. Beliau sedar _______ kesenangan hidup yang dikecapinya itu disebabkan oleh kekayaan yang dimiliki oleh bapanya. A. dengan B. tentang C. kerana D. akan Daripada: Shima, SMKBM Jawaban: Dengan berdasarkan pilihan jawapan yang dikemukakan, tiada jawapan yang tepat. Perkataan yang sesuai untuk tempat kosong ialah kata hubung `bahawa'. Hal ini dikatakan demikian kerana ayat tersebut mempunyai dua klausa. Klausa pertama ialah `Beliau sedar'. Klausa yang kedua ialah `Kesenangan hidup yang dikecapinya itu disebabkan kekayaan yang dimiliki oleh bapanya.' Apabila kedua-dua ayat tersebut digabungkan, kata hubung komplemen `bahawa' digunakan untuk membentuk ayat majmuk pancangan komplemen. Lihat ayat contoh yang lain: 2. Farah sedar bahawa dirinya benar-benar terperangkap. Ulasan: Ayat (2) terdiri daripada dua klausa, iaitu: Klausa pertama: Farah sedar Klausa kedua ialah dirinya benar-benar terperangkap Apabila digabungkan, kata hubung komplemen `bahawa' digunakan. Ayat (1) yang dikemukakan tidak boleh menggunakan kata sendi nama `akan' atau `tentang' kerana ayat majmuk perlu menggunakan kata hubung bukan kata sendi di tempat kosong yang disediakan. Marilah kita lihat contoh lain yang saya petik daripada Kamus Dewan Edisi Keempat: 3. Ia tidak sedar bahawa anaknya merosot dari pangkuannya. 4. Mereka akan sedar bahawa tidak dapat tidak mereka akan memperoleh penga­laman daripada aktiviti tersebut. 5. Ia sedar bahawa dirinya tidaklah seorang di dlm bilik itu utk berlara-lara berterusan sahaja. 6. Selepas daripada tangkapan, aku sedar bahawa perjuangan kita hanya perjuangan kosong sahaja. 7. Kami sedar bahawa Allah mendahului segala-galanya apabila melihat sesuatu. 8.Baru sekarang mereka sedar bahawa mereka tersesat. 9. Dia mulai sedar bahawa per­buatannya itu merupakan satu dosa besar. 10. Engkau pun sedar bahawa penduduk kampung ini sudah lama menyuruh aku menyingkirkan engkau dari sini. Sebagai kesimpulannya, kuasailah binaan ayat dalam bahasa Melayu seperti ayat dasar, ayat tunggal dan ayat majmuk. Selain itu, kuasailah penggunaan kata hubung dan kata sendi nama dalam bahasa Melayu. jika kedua-dua aspek ini dikuasai, kita akan dapat menggunakan kata sendi nama dan kata hubung yang tepat dalam ayat. Siri 859 - Frasa `sangat terkenal sekali' Soalan: Assalamulaikum, Cikgu Ghalib Saya dari SMKSP. Saya ingin bertanya tentang soalan percubaan pmr 2012, soalan no.18 iaitu : Pelakon filem yang sangat terkenal sekali di negara kita telah terpilih untuk mewakili negara ke pesta filem peringkat antarabangsa.Betul ke ayat ini? Terima kasih. Daripada: M.Ahmad Jawaban: Wsalam. Ayat tersebut betul kerana perkataan `terkenal' bermaksud masyhur. Oleh itu, frasa tersebut samalah dengan frasa `sangat masyhur sekali'. Semua pengguna perlu memahami bahawa awalan ter- pada perkataan `terkenal' tidak bermaksud paling. Hal ini berbeza dengan frasa `paling tercantik'. Awalan ter- pada perkataan `tercantik' bermaksud paling. Oleh itu, frasa `paling tercantik' salah. Siri 856 -Perkataan - Petipu, petulis atau petapis Soalan: Cikgu, mengapakah wujud perkataan `petinju', bukan `peninju'. Mengapakah wujud perkataan `penipu', `penulis' dan `penapis', tetapi bukannya `petipu', `petulis' atau `petapis'. Saya berharap agar mendapat penjelasan daripada cikgu. Daripada: Pencinta Bahasa, Manik Urai, Kelantan Jawaban: Kedua-dua perkataan `petinju' dan `peninju' wujud dalam kamus. Perkataan `petinju' bermaksud orang yang `bertinju'. Perkataan `peninju' pula ialah genggaman tangan untuk meninju atau penumbuk. Perkataan `penipu' pula wujud dengan membawa maksud orang yang menipu. Begitu juga halnya dengan perkataan `penulis' dan `penapis' yang membawa maksud orang yang menulis dan alat untuk menapis atau orang yang tugasnya menapis sesuatu seperti menapis filem. Hal inilah yang menyebabkan perkataan `petipu', `petulis' dan `petapis' tidak wujud. Proses pembentukan perkataan ini berbeza dengan perkataan `petugas' yang bermaksud orang yang bertugas. Oleh hal yang demikian, perkataan `penugas' tidak wujud dalam bahasa Melayu.

Friday, March 11, 2011

Ayat sendiri dalam Ringkasan PMR

Salam sejahtera,

Segala usaha dan iltizam Tuan Munsyi Dewan amat dihargai. Sehubungan dengan BM 02/2 (PMR), yakni soalan RINGKASAN, saya mendapati bahawa banyak calon / pelajar yang mempunyai tanggapan salah mengenai pendekatan membuat ringkasan yang mantap. Salah satu kriteria pemarkahan ialah berupaya menggunakan ayat sendiri, yakni (i) pemilihan kata yang tepat; (ii) ayat yang gramatis; dan (iii) penanda wacana yang sesuai. Berhubung dengan kriteria (i), para calon/pelajar begitu ghairah menggunakan kata sendiri sewenang-wenang sehingga maksud asal isi terpesong. Hal ini sudah tentu memeningkan kepala para guru / pemeriksa. Pada pengamatan saya, para pelajar tidak diberi gambaran yang sebenarnya berhubung dengan pemilihan kata yang tepat.

Besarlah harapan saya bahawa Tuan Munsyi dapat meleraikan permasalahan ini, yakni perbezaan antara pemilihan kata yang tepat dengan penggunaan kata sendiri.

Sekian.

Munsyi Bahasa, Pulau Pinang.

Jawaban:
Ayat sendiri bermaksud ayat yang tidak disalin bulat-bulat daripada petikan dari mula hingga akhir. Maksudnya ialah tiada perubahan, pengguguran atau penggantian dibuat. Jika seseorang murid melakukan perubahan seperti pengguguran atau penggantian, ayat yang dibina ialah ayat sendiri. Hal ini termasuklah penukaran atau pengguguran yang melibatkan satu perkataan sahaja. Dalam jawaban ringkasan PMR dan SPM, murid tidak digalakkan menukarkan kata kunci jawaban kepada perkataan lain kerana hal ini akan menyusahkan pemeriksa.

Saya amat bersetuju dengan pendapat tuaan bahawa banyak pihak yang tidak memahami konsep ayat sendiri dalam jawaban ringkasan atau rumusan. Hal ini menyebabkan murid menyalin jawaban yang jauh berbeza dengan jawapan dalam skema jawaban. Oleh hal yang demikian, semua calon PMR dan SPM hendaklah memahami konsep ayat sendiri dalam peperiksaan.

Sunday, January 2, 2011

SESI BARU PERSEKOLAHAN 2011

Moderator Cikguanda.blogspot.com merakamkan ucapan Selamat Meneruskan Pengajian dalam sesi persekolahan 2011 kepada semua pelajar walau di mana anda berada. Semoga pada tahun ini anda memperoleh kekuatan dan kelebihan yang dianugeahkan Tuhan sebagaimana yang diimpikan untuk meraih kejayaan. Kepada calon-calon yang bakal menduduki peperiksaan awam (UPSR, PMR, SPM dan STPM), teruskan usaha anda. Semoga usaha yang tidak mengenal jemu dan putus asa akan membuahkan sesuatu yang bermakna buat semua kemudian hari.

Untuk makluman semua, moderator cikguanda.blogspot.com akan melakukan beberapa pengubahsuaian terhadap isi kandungan dan konsep persembahan laman ini untuk kelihatan lebih ceria, lebih bernilai tambah dan bermaklumat. Jadi, selalulah berkunjung ke laman ini untuk mengikuti perkembangannya dari masa ke masa serta mengutip pelbagai informati yang disediakan.

Saturday, August 28, 2010

ISU-ISU KARANGAN RAMALAN PMR 2010

Tajuk :
Warga tua sering tidak diendahkan oleh golongan remaja. Huraikan cara yang terbaik untuk mendidik remaja agar menyayangi warga

Pendahuluan
- Warga tua merupakan sebahagian daripada masyarakat dan
tidak harus diabaikan atau dilupakan.
- Warga tua merupakan golongan yang pernah berjaya kepada
keluarga dan negara.
- Namun begitu tidak semua warga tua bernasib baik dan
mengalami pelbagai masalah seperti uzur, nyanyuk dan
penyakit yang berbahaya.

Isi 1
- Ibu bapa harus memainkan peranan penting mendidik anak-anak
- Ibu bapa perlu menitikberatkan sikap kasih sayang terhadap
orang tua kepada anak-anak mereka.
- Secara tidak langsung, anak-anak akan menghormati dan
menyayangi warga tua.

Isi 2
- Budaya kunjung-mengunjung keluarga perlu diamalkan bukan
sahaja pada hari raya.
- Dapat mempereratkan hubungan antara remaja dan warga tua.
- Warga tua akan berasa terhibur apabila anak dan cucu mereka
pulang menziarahi mereka.
- Remaja akan sedar kepayahan serta kesunyian warga tua.

Isi 3
- Mengada dan memperbanyak kempen untuk menyedarkan
generasi muda tentang pentingnya menghargai warga tua.
- Adakan kempen melalui Hari Ibu dan Hari Bapa, generasi muda
akan membawa ibu bapa mereka berjalan dan sebagainya.
- Melalui kempen ini akan timbul perasaan simpati, kasih sayang
dan hormat golongan tua.

Isi 4
- Tanamkan sikap kasih sayang dan hormat-menghormati dalam
jiwa generasi muda.
- Mereka tidak seharusnya melawan cakap orang tua sebaliknya
mendengar rungutan warga tua.
- Dengan adanya sikap begini, mereka dapat mengasihi dan
menjaga keperluan warga tua dengan baik.

Isi 5
- Pihak sekolah perlu mengadakan Hari Keluarga.
- Hubungan antara murid dengan ibu bapa dan guru dapat dieratkan.
- Melalui cara ini juga para murid dapat belajar bagaimana untuk
memenangi dan menghormati warga tua.
- Secara tidak langsung, mereka akn mengamalkan sikap begini
walaupun mereka sudah deawsa.

Isi 6
- Peranan pihak media massa cetak dan elektronik mendidik
remaja.
- Banyakkan cerita-cerita berunsurkan masyarakat penyayang.
- Contoh Majalah Wanita, Televisyen dan radio.
- Menyedarkan remaja akan pentingnya menghormati warga tua.
- Beri pengajaran agar mereka tidak mengabaikan warga tua jika
tidak mahu diabaikan apabila tua nanti.

Penutup
- Warga tua perlu diberikan penghormatan yang sewajarnya.
- Kita tidak seharusnya melupakan jasa mereka kepada keluarga
dan negara.
- Kita perlu sedar bahawa suatu masa nanti kita juga akan
menjadi tua seperti mereka.
- Adalah kita mahu dilakukan sedemikian rupa? Jawapannya
tepuk dada tanyalah selera.

Monday, August 23, 2010

SAYANGI ALAM SEKITAR KITA

JOM RAMAI-RAMAI PAKAT SERTAI PRORAM YOU CAN GIVE HOPE TO ORANG UTAN anjuran TV9, Teh Boh Malaysia dan WWF. Ini bukan setakat program sahaja,tetapi satu pertandingan sebagai satu kempen menyanyangi orang utan yang semakin pupus sekarang. Jadi, anda digalakkan membentuk kumpulan untuk merealisasikan program ini. Hadiah lumayan :

RM4,000 untuk kumpulan dan RM4,000 untuk sekolah
RM2,500 untuk kumpulan dan RM2,500 untuk sekolah
RM1,000 untuk kumpulan dan RM1,000 untuk sekolah

Boleh pergi ke Sabah lagi melawat tempat pemeliharaan dan pemuliharaan orang utan.

Apa lagi daftar sekarang di laman blog berikut :

http://orangutan.com.my/newhope/index.html

Tarikh tutupnya 4 Oktober 2010. Cepat-cepat ya nanti melepas.
Selamat mencuba.